Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, November 28, 2013

Puisi "Azam Abadi"

Azam Abadi

Nyala api perjuangan itu
bukan kepura-puraan
untuk daku meraih nama
atau kemasyhuran
apatah lagi ganjaran
kerana lebih banyak kedukaan
dan penghinaan serta ancaman
yang bertandang

Nyala api perjuangan itu
bukan suatu kebetulan
kerana akarnya ialah hakikat
kewujudan tamadun lebih dua alaf
dengan bahasa wasilah peningkat taraf
penjana pemikiran dan karya peneguh makrifat
penghubung manca tamadun sejagat
baik di timur mahupun di barat

Maka itu
usah dikau cuba menguji iltizam
dan ketekalanku dalam jalur perjuangan itu
Usah dikau cuba menusukkan ancaman
kerana habuan dan ganjaran
bukan mata alamat apatah lagi idaman
Pintu rezeki dalam jagaan Tuhan
Persoalan kita: menemui-Nya dalam penipuan diri
atau kepuasan dan kemanisan memenuhi suara hati
sesudah memperjuangkan yang hakiki

Kembara Bahasa
28 November 2013

Puisi "Malam"

Malam
selimutilah kesunyian dan kesepian
dengan sutera lembutmu
Dakaplah insan yang siangnya mengisi kehidupan di denai hidayah-Mu
dan yang malamnya menghitung dosa dan pahala
untuk bangkit esoknya
melunaskan waad kepada-Mu

Kembara Bahasa
28 November 2013

Tuesday, November 26, 2013

Puisi "Pusingan U"

Puisi kesan dan tanggapan ekoran pengisytiharan seorang "pejuang lama" yang menyesali sokongan kepada pemansuhan PPSMI dan seterusnya mendesak dihapuskan sekolah kebangsaan untuk digantikan dengan sekolah Inggeris, konon untuk kepentingan anak cucu bangsa Melayu (dalam sesi soal jawab forum sebelum Mesyuarat Agung PENA pada 16 November 2012):

Pusingan U

Pusingan U di jalan raya
untuk pemandu mendapat arah yang tepat
juga untuk pemandu yang tersasar
dan perlu mencari jalan asal
Dalam perjuangan
pusingan U untuk orang yang silap perhitungan
mencari jalan perjuangan yang betul
Namun pusingan U
dari arah yang benar
mencari jalan yang tersasar
tanda akal telah tertipu
oleh niat yang palsu
tanda tiada istiqamah
dalam menentukan arah
tanda jiwa yang gegabah
sebagai sokong membawa rebah

Kami tidak sekali-kali akan menahan
ketetapan sikap yang kaujadikan pilihan
Tidak jua akan kami hulurkan bujukan
kerana dikau telah terlebih dewasa dalam kehidupan
dan telah melalui jalan beronak
ketika berdekad di jalur perjuangan
Kini dikau pasti memiliki hujah sendiri
dan telah bertanya kepada nurani
tentang asbab dikau beralih paksi
Namun usah sekali-kali kauhina kami
dengan memaksakan alasan peribadi
konon untuk menghindari hipokrasi
kerana kami yang masih istiqamah di jalan ini
tidak pernah memilih untuk mungkir janji
kepada diri
kepada bangsa kami
kepada bahasa kami
kepada tamadun kami

Silakan melakukan pusingan U
barangkali dikau akan bertemu
dengan kehidupan baharu
yang memenuhi makna kehidupan menurut tafsiranmu
dan beroleh kemerdekaan daripada belenggu
pilihan salah puluhan tahun yang kausesali
Biarkan kami terus di jalan ini
atas keyakinan yang sah
mengungguli bahasa, bangsa dan tamadun kami
tanpa kami perlu bersedih atau kecewa
akan kehilanganmu
Selamat melakukan pusingan U

Kembara Bahasa
16 November 2013

Sent from my iPad

Saturday, November 23, 2013

Puisi "Penyumbang Tamadun Insani"

Penyumbang Tamadun Insani

Kutub di utara
kutub di selatan
tampuk paksi bumi
saling berperanan
penyeimbang planet

Tangan dan kaki
juzuk jasmani
penyempurna diri
tiada lebih penting tangan daripada kaki
tiada lebih utama lengan daripada jari
masing-masing ditentukan peranannya oleh Ilahi

Demikan
manusia iktisad
dan manusia budaya
penyumbang dan penyeimbang
tamadun insani
sandang pangan keperluan asasi
budaya pembentuk akal budi
justeru kehidupan kita di sini
bukan hanya
berjuzuk haiwani
sekadar memenuhi keperluan alami
ada amanah yang hakiki
yang perlu dipenuhi
untuk mengisi juzuk yang ruhani

Kembara Bahasa
21 November 2013

Puisi "Mentari Senja"

Mentari Senja

Bagai gadis pingitan
yang tersipu-sipu malu
lalu menyembunyikan diri
mentari senja beransur-ansur pergi
meninggalkan siang hari
sesudah memberikan bakti
kepada alam semesta
mencari ruang istirahat
untuk malam mengambil giliran
menghamparkan kasur nikmat
bagi makhluk dan haiwan
melepaskan lelah
menghimpunkan ketenangan
bagi insan menghitung kemenangan dan ujian
membebat rasa duka dengan zikrullah
menyingkirkan daki mazmumah
menyerahkan jalan kehidupan kepada Ilah

Mentari
esok dikau muncul berseri
untuk melanjutkan bakti
tunduk patuh kepada rencana Ilahi

Kembara Bahasa
Pesawat MH 1450
22 November 2013

DBP Tetap Mempertahankan Dasar Negara (Dasar Kerajaan) tentang Bahasa Kebangsaan

Dasar DBP tentang Bahasa Kebangsaan

Penjelasan terhadap pertanyaan Farid KP dalam inbox Fb tentang dakwaan pengendali blog Boikot Bisnes Cina bahawa DBP tidak mengkritik kerajaan negeri Pulau Pinang yang menerbitkan buletin yang meminggirkan bahasa Melayu.

Salam. Dalam soal dasar bahasa kebangsaan, DBP jelas sikap dan pendiriannya, iaitu berdasarkan Perlembagaan Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta DBP sendiri. Semua pernyataan dan gerak kerja DBP berlandaskan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Jika ada mana-mana pihak yang bersikap atau melaksanakan sesuatu yang bertentangan dengan dasar negara (dasar kerajaan) tentang bahasa kebangsaan, maka DBP tidak bersikap berpura-pura untuk menyokongnya semata-mata kerana kedudukannya yang tinggi. Sokongan DBP kepada dasar dan program kerajaan kini dalam pelaksanaan MBMMBI dan Pelan Pembangunan Pendidikan adalah atas asas bahawa keputusan dan pelaksanaan kerajaan menepati dasar negara, dalam konteks ini Dasar Bahasa Kebangsaan.

Jika ada mana-mana pihak yang melanggar dasar itu, DBP menyatakan sikap dan pendirian yang sama dan tidak ada sebab untuk menyebelahinya. Dalam kes buletin kerajaan negeri Pulau Pinang yang sdr jadikan bahan rujukan itu, DBP sama sekali tidak pernah menerima salinannya dan dengan demikian tidak tahu akan isu peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam terbitan itu. Menuduh DBP tidak mengkritik pengendalinya samalah dengan menuduh pihak polis tidak menangkap seorang pesalah yang kesnya tidak sampai pada pengetahuan polis. DBP tidak mempunyai sebab apa pun untuk melindungi penerbit buletin itu, malah mengecam tindakannya meminggirkan bahasa kebangsaan dalam sebahagian besar kandungan buletin. Pengendali blog berkenaan tidak perlu membuat tuduhan melulu hanya kerana DBP tidak mengkritik pengendali buletin berkenaan atau pihak berkuasa di balik penerbitannya dalam keadaan DBP tidak pun maklum akan adanya buletin itu.

Pendirian DBP yang dilihat sebagai kritik kepada mantan Perdana Menteri yang melaksanakan PPSMI pasa zaman pemerintahannya, yang didapati oleh kerajaan yang memerintah negara sekarang sebagai merugikan negara, terutama bangsa Melayu, adalah semata-mata atas asas tidak selarasnya PPSMI dengan semua undang-undang negara dan dasar negara yang berkaitan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan. DBP tidak nampak sama sekali bahawa pernyataan pendirian yang tidak selari dengan YBhg Tun Mahathir sebagai mantan Perdana Menteri itu ada kaitannya dengan usaha menentang kerajaan kerana DBP jelas menyokong kerajaan yang memang telah memansuhkan PPSMI atas kewajaran yang sudah jelas dan menggantikannya dengan program lain yang lebih praktis dan wajar. Jika pengendali blog berkenaan dapat mengemukakan hujah yang meyakinkan tentang perlunya PPSMI dilaksanakan, ia patut berani mengemukakannya kepada kerajaan, bukan dengan berlindung di balik peribadi tokoh tertentu atas asas sentimen atau emosi, yang didapati tidak selaras dengan dasar negara (dasar kerajaan). Dalam konteks ini siapakh yang menentang kerajaan? Jelas bahawa penulis blog itu yang begitu taksub akan tokoh tertentu sampai lupa bahawa ia bersama-sama dengan tokoh itulah yang menentang kerajaan yang ada kini. Keluarlah dari kepompong pemikiran dan sikap jumud yang hanya bergantung pada emosi individu, bukan pemikiran bangsa keseluruhannya.

23 November 2013, pukul 9 malam

DBP Tetap Mempertahankan Dasar Negara (Dasar Kerajaan) tentang Bahasa Kebangsaan

Dasar DBP tentang Bahasa Kebangsaan

Penjelasan terhadap pertanyaan Farid KP dalam inbox Fb tentang dakwaan pengendali blog Boikot Bisnes Cina bahawa DBP tidak mengkritik kerajaan negeri Pulau Pinang yang menerbitkan buletin yang meminggirkan bahasa Melayu.

Salam. Dalam soal dasar bahasa kebangsaan, DBP jelas sikap dan pendiriannya, iaitu berdasarkan Perlembagaan Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta DBP sendiri. Semua pernyataan dan gerak kerja DBP berlandaskan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Jika ada mana-mana pihak yang bersikap atau melaksanakan sesuatu yang bertentangan dengan dasar negara (dasar kerajaan) tentang bahasa kebangsaan, maka DBP tidak bersikap berpura-pura untuk menyokongnya semata-mata kerana kedudukannya yang tinggi. Sokongan DBP kepada dasar dan program kerajaan kini dalam pelaksanaan MBMMBI dan Pelan Pembangunan Pendidikan adalah atas asas bahawa keputusan dan pelaksanaan kerajaan menepati dasar negara, dalam konteks ini Dasar Bahasa Kebangsaan.

Jika ada mana-mana pihak yang melanggar dasar itu, DBP menyatakan sikap dan pendirian yang sama dan tidak ada sebab untuk menyebelahinya. Dalam kes buletin kerajaan negeri Pulau Pinang yang sdr jadikan bahan rujukan itu, DBP sama sekali tidak pernah menerima salinannya dan dengan demikian tidak tahu akan isu peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam terbitan itu. Menuduh DBP tidak mengkritik pengendalinya samalah dengan menuduh pihak polis tidak menangkap seorang pesalah yang kesnya tidak sampai pada pengetahuan polis. DBP tidak mempunyai sebab apa pun untuk melindungi penerbit buletin itu, malah mengecam tindakannya meminggirkan bahasa kebangsaan dalam sebahagian besar kandungan buletin. Pengendali blog berkenaan tidak perlu membuat tuduhan melulu hanya kerana DBP tidak mengkritik pengendali buletin berkenaan atau pihak berkuasa di balik penerbitannya dalam keadaan DBP tidak pun maklum akan adanya buletin itu.

Pendirian DBP yang dilihat sebagai kritik kepada mantan Perdana Menteri yang melaksanakan PPSMI pasa zaman pemerintahannya, yang didapati oleh kerajaan yang memerintah negara sekarang sebagai merugikan negara, terutama bangsa Melayu, adalah semata-mata atas asas tidak selarasnya PPSMI dengan semua undang-undang negara dan dasar negara yang berkaitan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan. DBP tidak nampak sama sekali bahawa pernyataan pendirian yang tidak selari dengan YBhg Tun Mahathir sebagai mantan Perdana Menteri itu ada kaitannya dengan usaha menentang kerajaan kerana DBP jelas menyokong kerajaan yang memang telah memansuhkan PPSMI atas kewajaran yang sudah jelas dan menggantikannya dengan program lain yang lebih praktis dan wajar. Jika pengendali blog berkenaan dapat mengemukakan hujah yang meyakinkan tentang perlunya PPSMI dilaksanakan, ia patut berani mengemukakannya kepada kerajaan, bukan dengan berlindung di balik peribadi tokoh tertentu atas asas sentimen atau emosi, yang didapati tidak selaras dengan dasar negara (dasar kerajaan). Dalam konteks ini siapakh yang menentang kerajaan? Jelas bahawa penulis blog itu yang begitu taksub akan tokoh tertentu sampai lupa bahawa ia bersama-sama dengan tokoh itulah yang menentang kerajaan yang ada kini. Keluarlah dari kepompong pemikiran dan sikap jumud yang hanya bergantung pada emosi individu, bukan pemikiran bangsa keseluruhannya.

23 November 2013, pukul 9 malam

Wednesday, November 13, 2013

Mysuara.Net: PPSMI Tidak Relevan dalam Sistem Pendidikan Negara

PPSMI Tidak Relevan Dalam Sistem Pendidikan Negara
шаблоны сайтов
joomla
inShare
digg
KUALA LUMPUR - Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilihat sebagai tidak relevan untuk kembali dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sarian berkata, pelaksanaan PPSMI menunjukkan berlaku kemerosotan peratusan pelajar lulus bagi kedua-dua matapelajaran tersebut.

"PPSMI dilihat tiada hala tuju dan kajian yang dilakukan Kementerian Pendidikan mendapati ia memang tidak praktikal dalam konteks demokrasi dalam sistem pendidikan.

"Kita mungkin boleh melahirkan ribuan orang yang hebat dalam Bahasa Inggeris (BI) tetapi jangan kita lupakan 24 juta penduduk di negara ini yang mahir dalam penguasaan bahasa kebangsaan," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa yang merayu agar PPSMI dikembalikan dalam sistem pendidikan negara.

Menurutnya, kajian Unesco menunjukkan pelajar lebih mudah memahami sesuatu ilmu dengan berkesan dalam bahasa ibunda (Bahasa Melayu) kerana ilmu dan bahasa berkait rapat.

"Kita perlu lihat Perancis, Jepun, Korea dan China. Ini berdasarkan pengalaman saya selama empat tahun di Beijing. Mereka tetap menggunakan bahasa kebangsaan, jadi itu tidak pernah melemahkan matapelajaran Sains dan Matematik mereka, " katanya.

Beliau berkata, BI sebaliknya perlu dikuasai sebagai alat untuk nilai tambah bagi memperkaya ilmu tetapi martabat BM itu tiada galang gantinya.

"Ini berlaku di seluruh dunia. Kalau kita sanggup mengorbankan 3 juta lebih pelajar di negara ini, bererti kita sanggup menidakkan hak pelajar terutamanya di kawasan luar bandar untuk mempelajari Sains dan Matematik dengan lebih berkesan.

"Apa yang penting bagi saya adalah keputusan dibuat kerajaan berdasarkan kajian yang saintifik dan menyeluruh. Oleh itu, kerajaan meminda PPSMI dan memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI)," katanya.

DBP: Keputusan Sains dan Matematik Merudum ketika PPSMI dilaksanakan

Malaysian Insider

DBP: Keputusan Sains dan Matematik merudum ketika PPSMI dilaksanakan


OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
NOVEMBER 13, 2013
LATEST UPDATE: NOVEMBER 13, 2013 02:29 PM


Datuk Dr Awang Sariyan ketika menjawab soalan wartawan pada sidang media di Menara DBP hari ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 13 November, 2013.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini berpegang teguh kepada pendirian kerajaan untuk menarik balik pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana statistik Kementerian Pendidikan membuktikan terdapat kemerosotan keputusan akademik pelajar melalui pelaksanaan dasar itu.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan (gambar), berkata PPSMI tidak mempunyai hala tuju selain Kementerian Pendidikan membuktikan keputusan pelajar merudum dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

"Kami patuh kepada keputusan kerajaan kerana pelbagai institusi pendidikan menjalankan kajian mendalam terhadap kegagalan PPSMI.



"Kementerian Pelajaran mendapati PPSMI tidak praktikal dalam pendidikan kerana kerajaan tidak boleh mengutamakan kira-kira 2,000 pelajar yang cemerlang dalam bahasa Inggeris tetapi meminggirkan 28 juta pelajar yang mahir bertutur dalam bahasa Melayu.

"Kajian Unesco turut membuktikan sesuatu ilmu itu lebih mudah dipelajari jika diajar dalam bahasa ibunda," katanya dalam satu sidang media Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu kali ke-8 di Menara DBP, hari ini.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merayu kerajaan memperkenalkan semula PPSMI untuk mata pelajaran Sains dan Matematik.

Katanya, walaupun menggunakan bahasa Inggeris, semangat nasionalisme masih dapat diterapkan kerana ilmu pengetahuan adalah kunci kejayaan sesuatu bangsa.

Awang berkata, negara luar seperti China, Jepun dan Korea mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan dan terbukti tidak melemahkan sementara bahasa Inggeris pula dijadikan sebagai alat nilai tambah untuk memperkaya ilmu.

Katanya, martabat bahasa Melayu tiada galang ganti kerana hak murid di seluruh negara tidak boleh dinafikan terutama pelajar di luar bandar supaya dapat mempelajari Sains dan Matematik dengan cara berkesan dalam bahasa kebangsaan.

"Kita lihat banyak fenomena menyedihkan sehingga ada guru yang terpaksa mengajar menggunakan skrip kerana tidak mahir dalam bahasa Inggeris.

"Pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) juga prestasinya memberangsangkan apabila Unesco mengumumkan Malaysia mengatasi Singapura dalam penguasaan bahasa Inggeris," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan, dalam ucapan perasmiannya berkata, pemansuhan PPSMI pada 2012 harus dilihat secara positif sebagai titik permulaan mengeluarkan bahasa Melayu daripada status keusangan kosa kata dan ilmu baru dalam bidang bahasa.

Katanya, bahasa dialek dan sukuan tidak harus dipinggirkan kerana bahasa Melayu sememangnya bersifat dialek maka kosa kata dialek dapat mengayakan lagi gedung istilah bahasa Melayu.

"Sebagai contoh dialek Kedah meruah bermaksud membuang air, mengkam bermaksud sakit di bahagian perut, kabung bermaksud ukuran empat hasta dan kebung bermaksud kereta sorong bayi.

"Manakala gada dalam bahasa Melanau bermaksud ketelusan, dugal bahasa Bajau untuk sakit gastrik dan awah bermaksud koridor," katanya.

Beliau berkata, sebelum krisis bahasa kian meruncing, kosa kata dialek perlu dimanfaatkan bagi menambah keyakinan pengguna bahasa Melayu.

Ketika diminta mengulas cadangan Mohd Fauzi, Awang berkata, DBP sejak 1972 berpegang kepada prinsipnya menggunakan tujuh langkah dalam memilih kosa kata seperti mengutamakan bahasa Melayu, dialek, bahasa serumpun dan seterusnya bahasa asing yang dekat kepada penutur bahasa Melayu.

"Prinsip ini kurang diguna pakai apabila pakar bidang yang berpendidikan Inggeris lebih mudah menggunakan bahasa yang lebih dekat untuk kegunaan mereka," katanya. – 13 November, 2013.

Monday, November 11, 2013

Puisi "Biarkan Subur"

Biarkan Subur

Aduhai badai
usah kiranya dikau musnahkan
kembang yang sedang mekar
Biarkan ia subur
mewangi
menghiasi buana
kerana ia lambang
kejujuran dan keikhlasan
dalam memadukan kasih sejati
membina rasa insani

12 November 2013
Hilton, Kuching

Makna Peribahasa "Ikut Resmi Padi Makin Tunduk Makin Menjadi"


Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa

Tentang peribahasa "Ikut resmi padi, makin tunduk makin berisi", teringat hamba akan tafsiran Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam tazkirah di rumahnya pada tahun 1970-an, iaitu maksud tunduk bukan tunduk kepada kezaliman dan kebatilan, tetapi tunduk kepada keadilan dan kebenaran. Dalam realiti kehidupan, memang lebih banyak orang yang tampak sopan tertunduk-tunduk tetapi tunduk kepada yang tidak adil dan tidak benar.

11 November 2013

Puisi "Duka yang Kubawa"

Daku rela
membawa rasa duka itu
bersama-sama
ke mana-mana jua
daku berkelana
kerana rasa duka itu
sebahagian ceritera kehidupan
dalam menggerakkan harapan
untuk masa hadapan
bagi peradaban

MH 2530 KL-Kuching 11 November 2012

Sunday, November 10, 2013

Puisi "Menggilap Sejarah"

Menggilap Sejarah
(Kesan bicara hati berada di tanah tumpah darahku Johor)

1528 bermula peristiwa
terbentuk sistem kesultanan berwibawa
Sultan Alaudin Riayat Syah pembuka salasilahnya
kesinambungan Kesultanan Melaka nan tersohor di merata benua

Johor-Riau-Lingga
wilayah kesatuan bahasa dan budaya
ratusan tahun menyangga tamadun bangsa
penyubur pemikiran dan persuratan ranah beraneka

Bangsa penjarah datang membawa petaka
tipu muslihatnya mengelabukan pemuka bangsa
memfaraidkan tanah milik bangsa menurut selera
Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 memecahkan kesatuan wangsa

Meskipun terpisah
oleh batas geopolitik buatan penjajah
usah hendaknya kita berbalah
kerana kita tetap berkongsi warisan sejarah
bahasa, sastera dan budaya yang menyerlah
Kita abadikan semangat Melayu mahawangsa
dalam persatuan di pelbagai daerah

Kembara Bahasa
10 November 2013

Tazkirah kepada Diri: Kalau Hajat Tidak didapat

Tazkirah kepada diri:

Wahai diri selalulah ingat
Teruskan ikhtiar dan munajat
Jika hajat tidak kaudapat
Allah jua yang memiliki iradat

Kembara Bahasa
11 November 2013

Friday, November 8, 2013

Puisi "Rindu"

Rindu

Kautanya aku
tentang rindu

Yang kurindui
kedamaian hati
kebahagiaan hakiki
persahabatan sejati
mengenal makna diri
tahu akan tempat diri

Kautanya aku
tentang rindu

Yang kurindui
bahasaku dihormati
oleh bangsanya sendiri
diberi isi dan fungsi
tidak terbiar melalui nasibnya sendiri
dipandang remeh dipandang sepi

Kautanya aku
tentang rindu

Yang kurindui
bangsaku dihormati
maruahnya tidak dijual beli
hanya kerana pitis berpeti
yang maju bukan hanya kroni
si oportunis dikembiri agar tidak merosakkan negeri

Kautanya aku
tentang rindu

Yang kurindui
ilmuwan dan cendekiawan senantiasa dirujuki
musyawarah dan syura tidak terketepi
umara dan ulama berpadu sejati
mencari jalan membangun negeri
bersandarkan syariat Allah dan Nabi

Kautanya aku
Rentang rindu

Yang kurindui
negara maju jasmani dan ruhani
ekonomi, sains dan teknologi
akhlak watan malar tinggi
senantiasa dipayungi rahmat Ilahi
baldatun taiyibatun warabbun ghafur terpenuhi

Kembara Bahasa
12.10 pagi 7 November 2013/3 Muharam 1435

Monday, November 4, 2013

Puisi "Perihal Kuda"

Perihal Kuda

Ada orang yang berkuda
untuk ke mana-mana
Ada orang yang berkuda
untuk bersuka-suka
sebagai riadah senggang masa

Ada kuda
Ada kuda-kuda
Kuda bernyawa
kuda-kuda hanya benda
tanpa nyawa
kuda-kuda di bumbung rumah
kuda-kuda alat permainan si manja
kuda-kuda kedudukan dalam persilatan

Ada orang yang memperkuda
sesiapa sahaja yang sanggup diperkuda
untuk kuasa atau harta
untuk nama atau wanita
Yang memperkuda beroleh laba
Yang diperkuda ada kalanya beroleh hampa

Demikian perihal kuda
Berkuda dan bermain kuda-kuda
untuk keperluan manusia
Namun memperkuda
dan rela diperkuda
sifat dan tabiat tercela
Kuda diperkuda memang fitrah
Manusia diperkuda punah maruah

Kembara Bahasa
5 November 2013/1 Muharam 1435

Puisi "Kalau"

Puisi "Kalau"

Kalau dikau tahu
akan gersangnya tanah
yang dahulu subur
Kalau dikau tahu
akan layunya pohon
yang dahulu rimbun
Kalau dikau tahu
akan luka hati penanam
yang dahulunya tekun
Kalau dikau tahu
akan susutnya hasil mahsul
yang dahulunya makmur
nescaya tidak dikau biarkan
haiwan perosak merajalela
memusnahkan segala
yang telah kita usahakan bersama
Kini restuilah ikhtiar kami
membangun semula yang punah sebahagiannya
memacu upaya menyuburkan semula ladang bangsa
ladang pembina akal budi warga

Kalau dikau tahu
nescaya tidak bertangguh
memberi kami wewenang
agar kita tidak menjadi bangsa yang hilang

Kembara Bahasa
KLIA - Kuala Lumpur
8.30 malam 29 Oktober 2013

Sunday, November 3, 2013

Puisi "Di Balik Wajah"

Di Balik Wajah

Di balik wajah
yang redup
masih tampak sinar
untuk masa hadapan
Masih terlakar
kesediaan untuk meneruskan perjalanan
daripada carikan sejarah silam
yang pasti memedihkan dan menghibakan

Mereka seperti kita
seperti aku
seperti engkau
seperti dia
dan yang lain
pernah silap dalam percaturan
Pernah silap dalam penentuan
pernah silap dalam pemilihan
antara yang disuruh
dengan yang dilarang
Bedanya kita bebas di luar
dan mereka di dalam
Mereka menikmati asuhan semula
dalam peningkatan diri
sedang kita yang bebas di luar
barangkali terpenjara
oleh kesilapan yang diulang-ulang

Pada saat kusantuni mereka
dengan puisi "Bujukan Hati"
kutempatkan diriku dalam diri mereka
Kuselami nurani dan batin yang berbicara
Banyak ruang untuk kita belajar daripada mereka
tentang erti kesilapan
dan kesediaan membetulkan kesilapan

Di balik wajah mereka yang redup
Terlakar kesediaan meneruskan hidup

Kembara Bahasa
Penjara Dusun Dato' Murad Melaka
1 November 2013

Saturday, November 2, 2013

Puisi "Menunggu"

Menunggu

Bagai menunggu fajar menyingsing
dalam kelam aku berjaga
untuk nanti kusaksikan mentari terbit
membuka hari baharu
Adakah terungkai simpulan tali
Adakah terhurai kusut di hati
Adakah termeterai janji yang pasti

Biarlah terus kutunggu
meskipun mentari meninggi hari
dan senja bertandang lagi
tandanya malam bersilih ganti
dan hajat belum terpenuhi
dan aku menunggu fajar esoknya
dan fajar esoknya
dan fajar esoknya
tanpa jemu
tanpa kecewa

Aku akan terus menunggu
hingga isyarat Ilahi
membisikkan sebaliknya

Kembara Bahasa
Kg. Pimpit, Membakut,
Sabah
(Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara II)
2November 2013

Puisi "Bujukan Hati"

Puisi yang hamba deklamasikan dalam Majlis Malam Genta Puisi di Jabatan Penjara Dusun Dato' Murad, Melaka pada 1 November 2013:

"Bujukan hati"

Wahai hati usahlah berduka
Kehidupan memang penuh rona
Timbangkan yang baik insya-Allah bahagia
Ada pun yang buruk dijadikan sempadannya

Wahai hati usahlah kecewa
apabila kawan tidak setia
Amal yang baik itulah teman sebenarnya
Di alam akhirat pendamping selamanya

Wahai hati usahlah bimbang
akan nasib mujur mendatang
Di Lohmahfuz telah tertayang
Hanya ikhtiarkan agar gemilang

Wahai hati usahlah gentar
menghadapi ujian yang mungkin menggegar
Kitabullah dan sunnah jadikan akar
Jalannya terang kesesatan terhindar

Wahai hati usahlah iri
akan kelebihan rakan sendiri
Kenal akan kemampuan diri
Hak dirimu Allah memberi

Wahai hati usahlah hasad
Sepanjang hidupmu tiada berkat
Bersihkan niat darjat meningkat
Rezekimu luas tiada tersekat

Wahai hati usahlah takbur
Kawal dirimu jangan terlanjur
Kata dan tingkah perlu diukur
Jangan sampai amalmu lebur

Wahai hati usahlah bersangka
segala yang buruk pada saudara
Kajilah cacat cela yang ada
pada dirimu manakan sempurna

Wahai hati usahlah alpa
kecintaan berlebihan kepada dunia
Yang dikejar itu hanya sementara
Duniawi dan ukhrawi seimbangkan sentiasa

Wahai hati usahlah derhaka
kepada Yang Menciptakan kamu di dunia
Pasrah dan redha akan ketentuan-Nya
Tidak disekutukan dengan segala yang ada

~Kembara Bahasa~
13 Julai 2011

(Terbit dalam buku kumpulan puisi hamba "Mencari Makna Diri", DBP, 2012) — bersama Kamaruzaman Bin Mohd Yunus dan 7 yang lain.

Puisi "Berikanlah"

Berikanlah

Berikanlah dayung itu
agar dapat kuluncurkan perahu
Berikanlah kuda itu
agar dapat kupacu laju
Berikanlah nafiri itu
agar dapat kutiup merdu
Berikanlah keris itu
agar dapat kuhunuskan
Berikanlah keyakinan itu
agar dapat kutebus maruah
Berikanlah keadilan itu
agar dapat kulaksanakan amanah.

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
1.30 pagi 30 Oktober 2013

Puisi "Pohon Tidak Berbuah"

Syair "Pohon Tidak Berbuah"

Adapun demikian tajuknya syair
Dipetik daripada dangkalnya berfikir
Kotor hatinya demikian terzahir
Menjaga budi sungguhlah kikir

Asuhan keluarga telah sempurna
Ajaran guru tiada kurangnya
Ilmu dituntut sampai di menara
Lamun perilakunya tiada setara

Ajaran agama ketetapan Allah
Iman, ilmu, dan amal tiada terpisah
Basah lidah dengan zikrullah
Mengapatah tutur kata tiada endah

Hablum minallah hubungan dengan Allah
Hablum minannas pelengkap syariah
Tiada sempurna iman jika antaranya terpisah
Tiada tercapai kesempurnaan ibadah

Ibarat pohon yang tidak berbuah
Di rimba dan desa berdiri megah
Kepada makhluk tidak berfaedah
Tamsil ibarat jadikan ibrah

Kembara Bahasa
Jakarta, 29 Oktober 2013